04 December 2011

Tiada Sesiapa Termasuk Israfil Tahu Bila Kiamat

Thanks to feryco.com


Mengaitkan sesuatu peristiwa sebagai hari kiamat atau tanda kiamat. Perkara ghaib dan hari kiamat (termasuk tanda-tandanya) ialah sebahagian daripada Rukun Iman. Salah faham mengenai perkara ini memberi natijah yang besar kepada diri seorang Muslim, kerana ia menentukan hujung-hujungnya di syurga atau kekal di neraka.
Justeru, bilakah kiamat? Soalan ini ditanya oleh seorang lelaki Arab Badwi kepada Nabi seperti yang dilaporkan oleh sahabat, Abu Hurairah.
“Suatu hari seorang lelaki Arab Badwi datang bertanya kepada Nabi: “Bilakah hari kiamat?” Ketika itu Nabi sedang berucap, dan tidak mengendahkan
soalan itu. Namun setelah tamat berucap Nabi berkata: “Manakah orang yang bertanya mengenai hari kiamat tadi?” Lelaki itu berkata: “Aku wahai Rasul Allah”. Nabi menjawab: “(Kiamat akan datang) Apabila amanah telah disia-siakan”. Orang itu bertanya lagi mendapatkan penjelasan: “Bagaimanakah mensia-siakan amanah itu?” Nabi menjawab: “Apabila urusan diserahkan kepada yang bukan ahlinya, maka tunggulah kiamat.” – (Maksud Hadis Bukhari dan Ahmad)
Hadis ini dan juga banyak hadis menjelaskan bahawa Nabi sendiri tidak mengetahui bila hari kiamat akan berlaku secara tepat. Bahkan malaikat yang bertugas meniup sangkakala (trumpet) ketika hari kiamat juga tidak mengetahui bilakah hari kiamat. Nabi menjelaskan dalam satu hadis malaikat Israfil tertunggu-tunggu arahan daripada Allah untuk meniup sangkakala.
“Bagaimana boleh aku berasa tenteram dan tenang, sementara Malaikat Israfil telah meletakkan trumpet ke dalam mulutnya, menumpukan perhatian dan memusatkan pendengarannya sambil menunggu perintah untuk meniupnya…” – (Hadis Tirmizi)
Jelas berdasarkan bukti daripada al-Quran dan Sunnah, tiada siapa mengetahui bila terjadinya kiamat melainkan Tuhan yang mencipta alam ini, Allah.
Namun Islam tidak meninggalkan umatnya terkontang-kanting tanpa panduan untuk menghadapi hari kiamat. Nabi banyak sekali menceritakan kepada sahabatnya mengenai tanda akan berlaku hari kiamat. Antara kepentingan dan hikmah mengetahui tanda kiamat ini ialah supaya umat Islam bersedia dengan ilmu dan amal yang cukup dan berusaha untuk tidak membabitkan diri dalam tanda-tanda itu.
Salah satu daripadanya seperti yang dijelaskan dalam hadis sebelum ini, Nabi mengatakan: “Apabila urusan diserahkan kepada yang bukan ahlinya, maka tunggulah kiamat”. Antara urusan umat akhir zaman yang diserahkan kepada bukan ahlinya ialah urusan pemimpin (umara) dan ulama. Begitu ramai manusia yang bercita-cita dan mencalonkan dirinya menjadi pemimpin. Hari ini hampir semua profesyen mengidamkan jawatan pemimpin baik penjawat awam, peniaga, posmen, suri rumah, remaja sehinggalah orang yang belajar agama. Pendek kata, tidak ada orang yang mengidamkan jawatan pemimpin melainkan sedikit saja.
Begitu juga halnya dengan gelar ulama atau ahli ilmu. Nabi pernah berkata: “Ada tiga hal yang termasuk tanda-tanda kiamat, salah satunya ilmu diambil daripada orang kecil (bodoh).” – (Kitab Zuhd, Abdullah Al-Mubarak)
Sahabat Abdullah bin Mas’ud menjelaskan: “Manusia akan sentiasa berada dalam kebaikan selama mereka mengambil ilmu daripada kalangan sahabat Muhammad dan tokoh (ulama) mereka. Jika mereka mengambil ilmu daripada orang kecil (ahli bidaah) dan hawa nafsu mereka bercerai-berai, maka mereka akan binasa.”
Syaikh Yusuf bin Abdillah bin Yusuf al-Qabil menulis sebuah buku yang komprehensif mengenai tanda kiamat berjudul, Asyratus Sa’ah (diterjemahkan oleh Pustaka Ibnu Katsir dengan judul Hari Kiamat Sudah Dekat. Beliau menghimpunkan daripada al-Quran dan Sunnah 57 tanda kecil dan sembilan tanda besar hari kiamat.

No comments:

Post a Comment